Wednesday, November 21, 2012

Mahkamah Kekal Hukuman Penjara 7 Tahun Terhadap Adik Beradik

Dua beradik ini terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman 7 tahun penjara selepas didapati bersalah menyebabkan kematian abang kandung 6 tahun lalu.
Dua beradik terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu semalam, mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun selepas mereka didapati bersalah menyebabkan kematian abang kandung yang juga orang kurang upaya (OKU).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dan mengekalkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh, Mohd Hairul Faiza Yahaya, 32, dan Mohd Hairul Anuar Yahaya, 28, selepas mendapati keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen, tahun lalu adalah tepat dan wajar.

Mohd Yazid seterusnya mengarahkan hukuman penjara itu berjalan bermula semalam.

Terdahulu, kedua beradik itu didapati bersalah menyebabkan kematian mangsa, Mohd Nazli Yahaya, 36, dalam satu kejadian di sebuah kediaman di Ketengah Jaya, Dungun.

Kedua-dua mereka didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala kedua-dua beradik berkenaan diwakili peguam Mazlan Md Zin. Berdasarkan fakta kes, pada 4 Oktober 2007 kira-kira jam 11.30 malam, Balai Polis Ketengah Jaya, Dungun, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak memperkenalkan diri, memaklumkan ada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Khairul Kudung’ iaitu mangsa, sedang mengamuk di rumahnya.

Apabila tiba di lokasi kejadian, polis dapati kedua-dua tertuduh dan ibu mereka dikenali dengan nama Hashimah, sedang bersandar di dinding ruang tamu, manakala mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah dan terbaring dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Selain itu, keadaan rumah turut dipenuhi dengan kesan darah selain terdapat besi, kayu dan batu yang bertaburan.

Mangsa yang kudung tangan itu dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi, 5 Oktober 2007.

Hasil bedah siasat mendapati, mangsa mati akibat pendarahan teruk dan terdapat darah beku dalam otak, dipercayai dipukul atau dihantuk berkali-kali dengan objek tumpul dan berat.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment