Pelayar dari Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) menguasai acara maraton Cabaran Pulau Duyong selepas berjaya menamatkan saingan sejauh 10 kilometer di Muara Sungai Terengganu semalam.
Pelayar Muhd Dhiauddin Rozaini muncul juara bagi kategori kelas Optimist setelah berjaya mengetepikan pelayar dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Pahang, Nur Shazrin Mohd Latif di tempat kedua, manakala seorang lagi pelayar dari MYA, Natashya Nabila Sawal di tangga ketiga.
Muhd Dhiauddin, yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Julai lalu, menerima hadiah wang tunai RM450, manakala Nur Shazrin RM300 dan Natashya RM200.
Beliau berkata beliau sangat gembira kerana berjaya mencipta kemenangan kali kedua di Terengganu dan mengharapkan dapat mengekalkan prestasi terbaik bagi menghadapi saingan KFC Regata Monsun 2012 di Kuala Terengganu.
Bagi kategori Luncur Angin pula, pelayar MYA sekali lagi mencuri tumpuan dengan aksi menarik Mohammad Danial Fauzi yang berjaya meraih gelaran juara.
Beliau mengatasi peserta dari Persatuan Pelayaran Negeri Perak (PPLNP), Muhammad Husaini Mohd Rodzi di tempat kedua dan Ivie H Low (Kelab Pelayaran Pulau Pinang) tempat ketiga.
No comments:
Post a Comment