Wednesday, November 28, 2012
Pemuda Mahu Akademi, Wanita Mahu Tabung Melayu diPertingkatkan
Pemuda UMNO berhasrat untuk menubuhkan akademi kepimpinan pertamanya dikenali Akademi Kapten Hussein Onn bertujuan melahirkan pemimpin masa depan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, akademi yang diambil nama daripada Ketua Pemuda UMNO pertama itu dicadangkan penubuhannya di Sabah, pada tempoh yang masih belum dikenalpasti lagi.
Beliau berkata demikian menyampaikan ucapan dasar Pegerakan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, PWTC di Kuala Lumpur, pagi ini.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa kerajaan menggalak dan merancakkan lagi penabungan di kalangan orang Melayu, khususnya menerusi Tabung Haji.
Serentak itu katanya, Tabung Haji perlu memainkan peranan dengan menarik lebih ramai pendeposit untuk menyimpan kerana Tabung Haji adalah satu-satunya institusi ekonomi orang Melayu.
"Namun, bagaimanakah orang Melayu mahu menyimpan dalam Tabung Haji jika dividennya lebih rendah dari skim amanah saham yang lain?
"Oleh itu, saya berdiri di sini untuk memohon supaya kerajaan dapat menimbangkan bonus dan dividen Tabung Haji, jika tidak lebih pun, sekurang-kurangnya biarlah sama dengan dividen ASB (Amanah Saham Bumiputera)," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Persidangan Wanita UMNO 2012 bertemakan 'Masa Depan UMNO: Beranjak Untuk Melonjak ke Arah Kemenangan' di PWTC pagi ini.
Shahrizat berkata, UMNO juga perlu meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu dan menjadikan setiap desa sebagai 'Jelapang Ilmu'. "Saya mahu sekolah luar bandar diperkasakan ke tahap maksimum seperti juga sekolah yang terdapat di bandar. "Ini kerana, saya yakin pendidikan dan ekonomi adalah seperti kembar Siam yang tidak dapat dipisahkan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu," katanya.
Pergerakan Puteri Umno, pada Perhimpunan Agung Umno 2012 diberi penekanan tentang wadah politik baru yang tidak hanya memperlihatkan suara sebagai kuasa selagi tidak disusuli dengan tindakan iaitu perjuangan.
Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata sayap ini seharusnya bergerak atas tindakan lebih daripada cita-cita dan angan-angan dengan memahami maksud asas perjuangan.
Katanya, prinsip juang perlu 'hidup' dan menjadi tanggungjawab dalam setiap makhluk Tuhan, termasuklah Puteri sebagai sebuah fitrah dan berlaku di mana-mana.
"Juang bukan milik saya seorang. Juang bukan milik anda seorang. Ia juga bukan milik pemimpin yang mempunyai kuasa. Tetapi juang ialah milik kita semua, ia milik semua rakyat dan adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang masih bernyawa," katanya.
Menurut Rosnah, Puteri pada masa kini bukan lagi hulu balang biasa kepada parti tetapi perlu bangkit sebagai pahlawan dan laksamana ternama. "Ingatlah betapa lahirnya Puteri bukan untuk dimanja, bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa lahirnya Puteri adalah untuk berjuang sama merasai jerih membela nasib rakyat dan bangsa," katanya penuh semangat.
No comments:
Post a Comment