Wednesday, November 28, 2012

Ibu Muda & Pasangan Khalwat Bawa Anak Ke Penjara


Seorang ibu muda berusia 17 tahun terpaksa membawa anaknya meringkuk di dalam penjara selama sebulan kerana gagal membayar denda selepas mengaku salah berkhalwat.

Turut dipenjara adalah pasangannya berusia 18 tahun kerana gagal membayar denda RM2,500 setiap seorang selepas ditangkap sepasukan penguat kuasa agama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Oh, dekat Jabi, jam 1.35 pagi, 11 Januari tahun lalu.

Mereka kemudiannya berkahwin di selatan Thailand selepas beberapa hari ditangkap dan ibu muda terbabit kini mengandungkan anak kedua.

Wanita berkenaan terpaksa membawa anaknya bersama kerana masih menyusu badan dan tidak boleh berpisah dengannya.

Terdahulu sebelum itu, Mahkamah Rendah Syariah Besut di Kampung Raja menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau sebulan penjara selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di rumah lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said, ketika serbuan dilakukan, pintu utama rumah dibuka seorang wanita tua.

Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik utama rumah berkenaan mendapati tertuduh wanita sedang tidur di atas katil, manakala tertuduh lelaki tidur di atas tilam di bawah katil bersama adiknya berusia 11 tahun, sementara di dalam sebuah bilik lain ada seorang perempuan sedang tidur.

Wanita dari Hulu Besut itu berkata, dia berada di rumah lelaki terbabit pada hari ditangkap kerana lari dari rumah dan merancang untuk berkahwin dengan pasangannya sehari sebelum ditangkap

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment