Sepasang pengantin baru menerima kejutan istimewa pada hari pernikahan mereka apabila berpeluang menaiki kapal layar yang dikemudi sendiri Penasihat Pertandingan Monsoon Cup 2012 Datuk Peter Gillmore (kanan) di Kuala Terengganu, kelmarin.
Kedua mempelai tersebut, Yahya Mohammad Ishak, 23 tahun dan pasangannya, Nurul Syazwani Rosmawi, 23, yang juga peminat setia Monsoon Cup tiba di jeti Shahbandar pada 4 petang sebelum berlayar ke jeti di Riyaz Heritage Marina Resort & Spa untuk sesi bergambar.
Pelayaran mereka turut disertai kira-kira 30 anggota keluarga dan sahabat handai dari kedua-dua belah pihak yang menaiki dua buah kapal layar lain sebagai pengiring.
Yahya yang berasal dari Klang, Selangor berkata beliau sangat terkejut apabila diberitahu oleh isterinya mereka bakal menaiki kapal layar sebagai hadiah di hari pernikahan mereka.
"Biasanya, saya hanya tengok Monsoon Cup di kaca televisyen dan sama sekali tidak pernah menyangka berpeluang menaikinya, apatah lagi ia dikemudi oleh Datuk Peter.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada ayah mertua, Rosmawi Omar yang bersusah payah memberi kejutan ini untuk kami suami isteri, tak lupa juga kepada T Best Events Sdn Bhd sebagai penganjur bersama acara istimewa hari ini," katanya ketika ditemui pemberita sebelum memulakan pelayaran penuh memori itu, petang semalam.
Bagi Rosmawi pula, beliau sangat gembira apabila berpeluang meraikan pernikahan anak sulungnya itu dengan pelayaran istimewa sempena Monsoon Cup yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Dis depan.
"Ini juga peluang saya untuk meraikan rombongan pengantin lelaki yang datang jauh dari Klang, Selangor untuk menikmati aktiviti pelayaran ini sebagai sebahagian dari kenangan manis percutian mereka ke Terengganu kali ini," katanya.
Sementara itu, ibu kepada pengantin lelaki, Rohaiza Ishak berkata ini adalah pengalaman kali pertama buat mereka sekeluarga menaiki kapal layar yang digunakan dalam Pertandingan Monsoon Cup
"Saya betul-betul tidak menyangka akan menerima sambutan istimewa seperti ini dari keluarga besan yang juga penduduk di Pulau Duyong.
"Sudah pasti, kunjungan kali ini tidak akan kami lupakan sampai bila-bila," kata ibu kepada 13 orang anak itu.
Datuk Peter pula ketika ditemui berkata beliau sangat gembira apabila dapat merealisasikan hasrat bapa pengantin perempuan untuk memberi kejutan itu kepada anak sulungnya.
"Ini adalah pertama kali saya bawa pengantin menaiki kapal layar ini, saya gembira dapat menolong mereka menikmati pelayaran ini dengan cuaca yang begitu bagus, diharap ini dapat meninggalkan kenangan manis buat pasangan pengantin," katanya.
No comments:
Post a Comment