Wednesday, November 7, 2012

Penyokong Terengganu Desak PBSNT Contohi Johor Cari Pemain Handalan

Pemain baru Johor dari Sepanyol, Daniel Guiza (kanan) menurunkan tandatangan pada jersi seorang penyokong Johor
Penyokong setia bola sepak Terengganu mendesak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) lebih berusaha mencari pemain berbakat seperti yang dilakukan Johor dalam memancing pemain handalan sebelum saingan Liga Malaysia musim depan.

Seorang penyokong tegar, Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar, 36, berkata PBSNT perlu bertindak lebih agresif bagi mengembalikan semula era kegemilangan bola sepak di negeri ini.

 Beliau berkata pihak pengurusan perlu mencari pemain yang lebih berbakat dan berkaliber supaya pasukan Terengganu tidak terus menanggung malu di musim perlawanan yang akan datang.

"PBSNT hendaklah mengambil inisiatif menyerapkan lebih ramai pemain berbakat jika mahu melihat pasukan terus maju.

"Saingan musim depan semakin sengit, jadi tidak salah jika pihak pengurusan membuat perubahan seperti dilakukan oleh negeri Johor dan Perak yang sanggup berbuat apa sahaja untuk melihat kemajuan bola sepak di negeri ini," katanya.

Seorang lagi peminat, Ahmad Shariman Ab Rahman, 32, berkata, walaupun akan kehilangan ramai pemain namun tempat mereka perlu segera diisi oleh pemain berpotensi untuk memastikan Terengganu terus memperoleh kejayaan.

"Biarpun hampir separuh pemain berhijrah ke tempat lain, namun pasukan Terengganu masih mempunyai beberapa bintang seperti Abdul Manaf Mamat, Ashaari Samsuddin dan Ismail Faruqi yang mampu memperkuat kedudukan pada musim depan," katanya.

Bagi Zahidi Wahid, 43, pula ketiadaan ramai tonggak utama bukanlah satu halangan atau alasan untuk Terengganu mengukir kecemerlangan pada musim akan datang.

"Saya yakin dengan gandingan pemain sedia ada menerusi pemain baru, Terengganu masih mampu memberi cabaran pada saingan 2013 selain kehadiran jurulatih dan pengurus baharu diharapkan mampu membentuk pasukan yang lebih baik berbanding saingan musim lepas," katanya.

Seramai 10 pemain tonggak Terengganu telahpun dilepaskan atas persetujuan bersama, termasuk dua pemain import yang ditamatkan kontrak. Lapan pemain yang dilepaskan itu ialah penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Abdul Shukur Jusoh, Reeshafiq Alwi, Joseph Kalang Tie (pemain tengah), Hariri Mohd Safii, Mohd Muslim Ahmad (pertahanan), Md Ailim Fahmi Kamaruddin dan Abdul Hadi Yahya (penyerang) manakala dua pemain import berkenaan ialah Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva (Brazil).

Terbaharu, PBSNT juga melepaskan dua lagi tonggak utama iaitu kapten pasukan Mazuki Yusof dan pemain pertahanan kanan Mazlizam Mohamad.

No comments:

Post a Comment