Tuesday, November 20, 2012

Piala Monsun - 100,000 Serbu Terengganu


Musim Piala Monsun sudah tiba dan hampir kesemua pengusaha hotel di sekitar Kuala Terengganu kini mengukir senyuman.

Apa tidaknya, kebanyakan hotel dan rumah penginapan yang lain sibuk dikunjungi pelancong terdiri daripada peminat sukan kapal layar, kata Presiden Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu, Abdul Shaheed Yusoff.

Abdul Shaheed yang juga pengurus besar Ri-Yaz Heritage Marina and Spa, berkata beberapa hotel terkemuka sudah ditempah penuh semasa minggu Kejohanan Piala Monsun yang bakal berlangsung di Pulau Duyong dari 3 hingga 8 Disember nanti.

Jumlah tempahan dan pelanggan hotel meningkat daripada kurang 50 peratus kepada lebih 70 peratus, beberapa minggu sebelum kejohanan bermula.

Ini menunjukkan kejohanan Piala Monsun dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara untuk datang ke negeri ini dan ini sememangnya yang dikehendaki oleh pemain industri pelancongan, katanya.

Katanya, sejak bermula kejohanan Piala Monsun yang juga sirkit terakhir Alpari World Match Racing Tour (AWMRT) 2005 lalu, bukan saja Pulau Duyong malah semua tempat di Terengganu semakin dikenali ramai.

Lebih 100,000 pengunjung datang ke Terengganu sepanjang minggu Piala Monsun tahun lalu dan kami jangka lebih ramai lagi yang akan datang awal bulan depan.

Jumlah itu sebenarnya tidak pernah dimimpikan pengusaha hotel sebelum adanya Piala Monsun kerana dulu tidak ramai yang sanggup ke sini sewaktu musim hujan, katanya.

No comments:

Post a Comment