Wanita ini dibawa ke lokap IPD Dungun untuk siasatan lanjut selepas polis temui air ketum di rumahnya. |
Hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 28 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri dari negara jiran itu ditahan kerana disyaki menjadi dalang utama aktiviti memproses dan membekal air ketum kepada penagih tempatan.
Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum. |
Pemeriksaan polis di rumah didiami dua beradik yang menggunakan pas lawatan sosial untuk tinggal di negara ini, turut menemui empat plastik hitam serta 40 bungkus plastik kecil air ketum yang siap diproses untuk dijual di kawasan sekitar.
Pihak berkuasa juga turut menemui periuk dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Siasatan awal mendapati, suami kepada wanita terbabit dipercayai pernah terlibat dengan aktiviti sama dan ketika wanita berasal dari Tak Bai, Selatan Thailand itu ditahan, suaminya difahamkan berada di lokap Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.
Turut ditahan termasuk 11 lelaki yang datang ke rumah terbabit, dipercayai untuk mendapatkan bekalan ketum. Hasil ujian saringan air kencing, lapan daripadanya positif dadah jenis methapethamine dan mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas menerima laporan lanjut daripada pihak perubatan.
Wanita yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia 17 tahun itu kini ditahan reman empat hari sehingga Ahad (hari ini) mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan tersebut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti memproses, membekal atau penyalahgunaan dadah dapat menghubungi pihaknya di talian 09-8482222 (Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik) untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment