Friday, November 2, 2012

RM12 Juta Untuk 12,000 Veteran ATM Tidak Berpencen

Abu Bakar Siddik (kanan) menyerahkan borang sebagai gimik pengagihan borang STB1M di Pejabat Persatuan Bekas Tentera Negeri Terengganu di Wisma Pahlawan, Kuala Terengganu.
Lebih kurang RM12 juta bakal diagih kepada 12,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di Terengganu awal Januari depan melalui Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M).

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Negeri Cawangan Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman berkata, semua veteran tidak berpencen boleh mendapatkan borang secara terus atau talian bermula hari ini.

“Saya berharap semua anggota berkenaan boleh mendapatkan borang daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan masing-masing, pusat sehenti, pejabat JHEV dan laman web JHEV bagi mempercepatkan proses pembayaran yang akan dibuat Januari depan.

“Tempoh sebulan diberi kepada anggota untuk menyerahkan borang yang lengkap diisi dan pastikan semua dokumen penting dilampirkan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Taklimat Pelaksanaan Pemberian STB1M di Wisma Pahlawan, Kuala Terengganu.

Menurutnya, sumba-ngan RM1,000 setiap seorang itu sangat dihargai dan secara langsung pihaknya dapat mengenal pasti anggota tentera tidak berpencen yang terdapat di sesebuah negeri.

Pada waktu sama, Abu Bakar berkata, veteran perlu tampil dan aktif menyertai program diatur persatuan bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang disediakan demi kebajikan golongan berkenaan.

“Kebajikan mereka tidak diabaikan walaupun sudah bersara kerana JHEV menyediakan bantuan seperti Bantuan sara hidup, bantuan persekolahan, kemasukan anak ke institusi pengajian tinggi (IPT), peralatan pesakit dan bencana alam,” katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment