Friday, November 2, 2012
Jadilah Seorang Penderma Organ - Isteri MB
Penderma organ masih kurang di negeri ini iaitu 1,700 orang dan jumlah ini jauh berbeza dengan bilangan sebenar rakyat yang ada.
Yang Dipertua Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Isteri wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) yang juga isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, pendermaan organ kurang mendapat sambutan walaupun kempen kesedaran giat dilakukan.
Katanya, pada 2006 hingga hanya terdapat 88 orang pengikrar diikuti 438 (2010) dan 535 orang tahun lalu manakala sehingga Julai tahun ini terdapat 422 orang.
"Ini menunjukkan penerimaan rakyat di negeri ini semakin meningkat, namun usaha gigih perlu berterusan bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai di negeri ini," katanya di majlis perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Katanya, sejak program ini diperkenalkan pada 1975, hanya dua orang saja yang berjaya membuat pemindahan organ di negeri ini.
Menurutnya, bilangan pesakit sentiasa meningkat setiap tahun di negara ini dan sehingga Julai tahun ini 15,000 pesakit sedang menunggu buah pinggang di mana bilangan ini tidak termasuk pesakit yang menunggu pemindahan jantung, hati dan paru-paru.
“Penderitaan yang mereka alami bukan setakat menderita akibat penyakit sebaliknya mengalami bebanan dari seri kewangan, mengalami tekanan emosi di samping berkorban masa untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan belanja untuk pembangunan kesihatan dan perubatan namun semua itu tidak akan memberi makna sekiranya rakyat tidak bersama kerajaan dalam merealisasikan hasrat tersebut.
Tambahnya, pemindahan organ dan tisu salah satu cabang rawatan yang terbukti dapat menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti hidup seseorang pesakit, tetapi jika tiada pendema tiadalah berlaku pemindahan organ.
“Sebagai rakyat yang pemurah dan prihatin marilah sama-sama berikrar sebagai penderma organ dan maklumkan hasrat murni ini kepada keluarga agar bila berlaku kematian keluarga tidak ragu-ragu untuk memberi keizinan,” katanya.
Menurutnya, tiada halangan dari segi undang-undang dan agama kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan pendermaan organ diharuskan dalam Islam
Teganukita
No comments:
Post a Comment