Monday, November 5, 2012

RM12 Juta Untuk Taska Permata Keluarga

Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM12 juta melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi memperluaskan program membina perkembangan awal dalam kalangan kanak-kanak melalui Taska Permata Keluarga tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jumlah itu bertambah RM2 juta berbanding tahun ini ekoran peningkatan jumlah kanak-kanak di bawah kendalian taska di seluruh negeri di samping melengkapkan lagi kemudahan dan penyediaan suasana lebih kondusif.

"Pada masa ini, kemudahan taska kita adalah antara yang terbaik yang mana di setiap taska disediakan hawa pendingin selain mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau perjalanan dan keselamatan di 44 buah taska terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Hafaz Muqaddam (23 Surah Lazim) Kanak-kanak Taska Permata YPKT 2012 di Stadium Tertutup Gong Badak, dekat Kuala Terengganu kelmarin.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Dalam majlis itu, seramai 1,106 kanak-kanak berjaya menghafaz 23 surah lazim muqaddam meningkat berbanding tahun sebelumnya seramai 1,012 orang.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihaknya dalam perancangan menambah empat buah lagi Taska Permata Keluarga iaitu di Dungun, Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu.

"Ketika ini, sebanyak 84 buah Taska Permata ditubuhkan di negeri ini yang mana daripada jumlah itu sebanyak 66 buah dikendalikan YPKT dengan jumlah sebanyak 3,383 kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun dan dibimbing sebanyak 572 orang guru," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment