Monday, November 5, 2012

Kerjasama UMT-MAPAN Atasi Disiplin Pelajar Ponteng

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN), Kementerian Pelajaran, hari ini mengadakan perjanjian perkhidmatan tambah nilai bagi membendung disiplin pelajar terutama kes ponteng sekolah.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kerjasama itu merupakan lembaran baharu bagi UMT dan ia akan ditonjolkan kepada komuniti kampus bahawa pemindahan pengetahuan itu, sama pentingnya dengan usaha pengajaran dan penyelidikan di universiti.

"Istimewa kali ini kerana kita dapat melihat sistem yang dibangunkan itu telahpun mempunyai pengguna dan boleh diuji keberkesanannya.

Yang lebih penting lagi, MAPAN merupakan penghubung di antara UMT dengan Kementerian Pelajaran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan tambah nilai dan modul pembangunan Sistem e-Disiplin Murid, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Penasihat Kehormat MAPAN, Mohd Nizar Mohd Najib, Presiden MAPAN Sulaiman Ahmad dan Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Datin Rashidah Md. Yusof.

Mohd Nizar ketika berucap pada majlis itu berkata, sebagai contoh 97 buah sekolah menengah dalam kawasan rancangan Felda seluruh negara, menggunakan sistem itu sebagai sampel kajian pengaplikasian sistem e-Disiplin murid.

Katanya, pencapaian pada peperiksasan PMR sekolah-sekolah berkenaan tahun lepas, telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.

"Hasilnya, 71.12 peratus daripada 11,029 calon telah lulus semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 62.6 peratus pada tahun 2010 iaitu peningkatan sebanyak 8.52 peratus.

Mohd Nizar berkata, walaupun itu bukanlah satu pencapaian yang boleh diwartakan sebagai muktamad, pihaknya yakin e-Disiplin yang bakal diaplikasi di semua sekolah di bawah Rancangan Malaysia ke-10 akan membawa impak besar dalam pembangunan pendidikan era digital.

Sementara itu, Ketua dan Penyelaras Projek Pembangunan Sistem e-Disiplin, Dr Mustafa Man pula berkata ada lima modul tambah nilai itu antaranya menerusi sistem e-mail dan juga Sistem Pesanan Ringkas (sms).

Katanya, di bawah modul sms, ia menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 yang sudah sedia ada di bawah MAMPU. Beliau berkata modul lain iaitu modul kehadiran ke sekolah, di mana inovasi yang dibuat memudahkan guru menyemak kehadian pelajar selain boleh dilihat oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dan juga oleh kementerian sendiri.

No comments:

Post a Comment