Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu akan mengadakan empat program pada bulan depan sebagai penutup tahun sebelum menjelang tahun baru 2013.
Pengerusinya, Mohammad Abdul Nasir Malek berkata, SBM sentiasa berusaha memberi peluang ahli-ahli mencari kemahiran diri untuk berdikari menyara keluarga tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan atau ihsan masyarakat.
Katanya, pihaknya mengatur kelas urut reflex kaki, kepala dan bahu untuk ahli yang berminat menceburi bidang ini sebagai sumber pendapatan baru pada 1 Disember depan.
Katanya, SBM juga akan mengadakan majlis asyura dan jamuan tahunan bagi meraikan warga emas serta penyampaian bantuan pendidikan kepada anak ahli.
“Setiap tahun juga kita akan membawa ahli berkunjung ke SBM di luar Terengganu dan tahun ini akan ke Kelantan untuk beramah mesra serta bertukar idea di samping beroleh pengalaman hidup,” katanya.
Sehubungan itu, mulai awal tahun depan, Kelas Braille Rumi secara percuma akan mula dibuka di Pejabat SBM Cawangan Terengganu di Teluk Ketapang Seberang Takir dan ahli yang berminat boleh berhubung dengan pejabat untuk membuat pengesahan.
No comments:
Post a Comment