Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan bank kitar semula di semua sekolah, di Terengganu mulai, tahun depan.
Pengarahnya Fatimah Ahmad berkata bagi merealisasikan hasrat itu, PPSPPA Terengganu akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi menggalakan pelajar terlibat dalam program kitar semula.
"Pelajar akan membawa bahan kitar semula seperti kertas, tin aluminium, atau botol ke sekolah dan agen PPSPPA akan datang untuk menimbang dan membeli.
Duit hasil jualan bahan-bahan terbuang itu akan diserahkan kepada guru untuk diserahkan semula kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurut Fatimah pelajar juga diberi peluang untuk membuka akaun bank sekirannya mereka terlibat secara aktif dalam program kitar semula yang
dijalankan itu.
Beliau berkata PPSPPA negeri Terengganu telah memulakan projek perintis mengitar semula bahan buangan melibatkan pelajar prasekolah dari 19 buah Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) di daerah Hulu Terengganu.
Melalui projek itu, Tadika berkenaan telah menunjukkan peningkatan mendadak dalam menghasilkan bahan kitar semula yang dibawa oleh kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun untuk dijual kepada agensi PPSPPA.
Katanya meskipun PPSPPA hanya mendedahkan program tersebut kepada kanak-kanak prasekolah, namun ia secara tidak langsung turut melibatkan ibu bapa mereka.
"Bila hari pungutan sisa pepejal dilakukan, pelajar akan minta ibu bapa mereka simpan bahan-bahan terbuang untuk dijual kepada kami," katanya.
Program larian yang turut diadakan serentak di beberapa negeri di seluruh negara itu, melibatkan penyertaan seramai 6,000 peserta.
No comments:
Post a Comment