Saturday, November 17, 2012

Liga Malaysia - T-Team Ikat Boateng, Butler Esok


Pasukan berstatus kelab T-Team dijangka bakal menandatangani kontrak secara rasmi dengan pemain kelahiran Ghana, George Boateng esok, dalam memantapkan lagi pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu dinyatakan sendiri jurulatih dan pengurus baru pasukan T-Team, Peter James Butler yang turut akan menandatangani kontrak mengemudi T-Team pada hari yang sama.
Menurutnya, Boateng, pemain berusia 37 tahun sudah berada di Kuala Terengganu sejak Jumaat lalu.

“Dia akan menandatangani kontrak pada Ahad ini, begitu juga dengan saya. “Malah dia sangat optimis dalam menyarung jersi pasukan T-Team dan turut memberitahu saya dia juga menyukai negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Butler turut memberitahu, selepas menandatangani kontrak bersama T-Team, pemain kelahiran Ghana itu dan kembali semula ke England untuk menyelesaikan beberapa perkara di sana.

“Bagaimanapun, dia (Boateng) akan kembali semula ke Terengganu dalam masa dua minggu selepas majlis menandatangani kontrak itu nanti,” katanya.

Manakala ketika diminta mengulas berhubung seorang lagi pemain import, Luis Boa Morte yang dikaitkan dengan pasukan Penyu Muda itu, beliau berkata, kelab mempunyai beberapa kesulitan dalam mendapatkan tandatangan bekas pemain Arsenal, Fulham dan West Ham itu.

“Boa Morte masih mempunyai baki kontrak sehingga Disember. Justeru, agak sukar untuk mendapatkan tandatangan pemain berkenaan pada masa ini.

“Begitu pun, kami sudah mempunyai seseorang yang bakal mengisi kekosongan tersebut. Buat masa ini, saya tidak dapat mendedahkan identiti pemain berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai bekas kapten Terengganu, Marzuki Yusof dan pemain pertahanan kelahiran Perlis, Mazlizam Mohamad yang dikatakan bakal menyertai T-Team, Butler memberitahu, beliau akan melihat kecergasan kedua pemain tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.

“Saya yakin T-Team akan menjadi pasukan yang kuat dan disegani pada saingan musim baru nanti. “Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik dan saya berazam menjadikan T-Team sebagai antara pasukan terbaik di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment