Saturday, November 17, 2012
Suami Uzur Pastikan Isteri Terlantar Dapat Layanan Sewajarnya.
Sepasang suami isteri warga emas yang mempunyai lapan anak terharu apabila menerima kunjungan dan bantuan daripada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin, di rumah mereka di Marang.
Namun, bukan kunjungan itu yang ingin diperkatakan tetapi kisah menarik yang dapat dikongsi bersama apabila Hussin Hassan, 80-an, tabah menjaga isterinya, Senik Ali, 80-an, yang terlantar sejak 10 tahun lalu walaupun dirinya sendiri uzur.
Ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam, Hussin setia melayan segala keperluan harian isterinya itu yang kini nampak semakin uzur malah tidak mampu bergerak cergas seperti biasa selepas mengalami masalah penyakit sendi lutut.
Hussin berkata, walaupun kudratnya tidak sekuat mana ditambah pula dengan masalah penglihatan yang dihidapi dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata namun dia tetap tabah bagi memastikan isteri tercinta mendapat layanan sewajarnya.
Menurut warga emas itu, walaupun keadaan dirinya juga memerlukan perhatian namun keperluan harian isterinya lebih diutamakan agar isterinya itu mendapat penjagaan rapi dan sentiasa berada dalam keadaan selesa serta bersih pada setiap hari.
“Setakat ini saya masih mampu menjaganya cuma tidak tahu sampai bila. “Rutin harian saya bermula dengan mengheret Senik menggunakan kain atau selimut untuk ke bilik mandi sebelum saya dapat memandikannya setiap pagi,” katanya.
Hussin berkata, anaknya ada datang menjenguk namun masing-masing mempunyai haluan sendiri dan sudah berumah tangga termasuk dua daripada lapan anaknya bekerja di luar Terengganu manakala selebihnya bekerja serta mempunyai keluarga di negeri ini.
Bagaimanapun bagi Hussin, dia bersyukur kerana menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan termasuk melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk kos pembedahan mata baru-baru ini dan bantuan lain.
“Syukurlah kerajaan prihatin terhadap nasib saya malah pemimpin setempat juga sering datang melawat ke rumah saya ini termasuk Pemuda Umno Negeri Terengganu. “Rumah ini dibaik pulih oleh Barisan Nasional (BN) yang prihatin,” katanya.
No comments:
Post a Comment