Thursday, November 1, 2012

Terengganu Terbitkan Semula Buku Sempena TMT 2013

Kerajaan negeri Terengganu akan membukukan semula dua buku berkaitan kosa kata dialek bagi tiap-tiap daerah dan sejarah Batu Bersurat di negeri itu sebagai persiapan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata kedua-dua buku itu mempunyai nilai tinggi dalam mempromosikan negeri itu kepada pelancong asing.

"Buku kosa kata hasil tulisan Tuan Shariff Tuan Putera yang memperincikan bahasa dialek tempatan Terengganu itu akan diberi nilai tambah sebelum kerajaan negeri menerbitkannya semula.

"Begitu juga dengan buku sejarah hasil seorang profesor yang menceritakan secara terperinci mengenai Batu Bersurat yang dijumpai di Kuala Berang yang mempunyai nilai sentimental tinggi dalam penyebaran Islam di Asia Tenggara ini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan cek kepada Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) di Kuala Terengganu, semalam.

Selain itu, Abdul Rahin berkata kerajaan negeri akan mencetak semula buku mengenai keunikan makanan dan kuih muih tradisional hasil karangan isteri bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad iaitu Toh Puan Seri Aishahtun Fadlullah Suhaimi.

"Ketiga-tiga jenis buku itu adalah antara promosi dalam bentuk penulisan bagi menarik kedatangan pelancongan ke negeri Terengganu," katanya.

Dengan tema 'Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orang Baik Baik', Terengganu mensasarkan kedatangan empat juta pelancong ke negeri Penyu itu sempena TMT 2013.-

1 comment:

  1. HARAPAN SAYA DIELEK HULU TERENGGANU YANG BERSEJARAH ITU (KERANA TERAKAM PADA BATU BERSURAT-YANG MERUPAKAN DIELEK TERTUA YANG DIJUMPAI DINEGARA INI SECARA BERDOKUMEN. DOKUMEN 'HIKAYAT HANG TUAH' DAN 'SEJARAH MELAYU' HANYA DIJUMPAI 100 TAHUN SELEPAS DIELEK HULU TERENGGANU. ORANG TERENGGANU SEPATUTNYA BERBANGGA DENGAN DIELEK KUALA BERANG HULU TERENGGANU ITU YANG MENJADI 'BAHASA ILMU MERANGKAP BAHASA MEDIA' SEJAK ABAD KE 13M/14M.

    TIDAK MUSTAHIL PEDAGANG, PENDAKWAH DAN SEBAGAINYA MENGGUNAKAN BAHASA HULU TERENGGANU DALAM URUSAN PERNIAGAAN DAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

    SAYA MENYERU KEPADA KERAJAAN NEGERI AGAR 'TIDAK MEMANDANG SEPINTAS LALU' HULU TERENGGANU KERANA BERDASARKAN SEJARAH TERENGGANU, 'SEGALA-GALANYA BERMULA DI HULU'. JATIDIRI TERENGGANU BERMULA DI HULU. JATIDIRI ITU SEPERTI KESULTANAN, ULAMAK, ISLAM, BAHASA MELAYU, TULISAN JAWI DAN SEBAGAINYA BERMULA DI KUALA BERANG HULU TERENGGANU.

    DI KUALA BERANG JUGA TEMPAT WARISAN KERAJAAN (KUASA BESAR) SRIVIJAYA.

    ReplyDelete