Tindakan Pas mengadakan solat hajat dan doa agar Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuk orang bukan Islam terhadap agama Islam.
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Umno Terengganu, Muhammad Ramli Nuh ketika diminta mengulas isu doa yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan Muktamar Tahunan Pas Ke-58.
Muhammad Ramli berkata, perbuatan parti yang kononnya memperjuangkan agama Islam tersebut sudah jauh tersasar daripada matlamat sebenar.
"Perbuatan Pas boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita terutamanya kepada golongan bukan beragama Islam.
"Doa sebenarnya permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Allah s.w.t yang fokus kepada kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menghancurkan orang lain,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Katanya, perbuatan yang dilakukan Pas bukan kaedah berdakwah yang sebenarnya tetapi lebih kepada sengaja menimbulkan pergaduhan sesama muslim serta menimbulkan pandangan serong oleh orang bukan Islam.
"Tindakan mereka ini sedikit sebanyak akan mengikis minat orang yang bukan beragama Islam mempelajari agama suci ini kerana perbuatan sedemikan seolah-olah memberi gambaran orang Islam tidak bersatu,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat, doa pemimpin dan penyokong Pas yang meminta kehancuran Umno dan BN tidah ubah seperti sikap puak Khawarij yang muncul pada zaman Khalifah Ar-Rashidin keempat, Sayyidina Ali Abi Talib, yang beranggapan kalangan mereka sahaja yang betul.
"Puak ini mengganggap semua orang tidak betul selain turut mendoakan keburukan pemimpin termasuk Sayyidina Ali sendiri.
"Samalah dengan yang dilakukan oleh parti Pas yang beranggapan mereka sahaja yang betul dan Umno itu zalim,” katanya.
Menurut beliau, Pas berpendapat doa sedemikian tidak salah kerana mendakwa mereka dizalimi oleh Umno sedangkan perkara itu tidak benar.
Justeru, masyarakat di negeri ini khususnya dinasihatkan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang boleh merosakkan akidah Islam.
No comments:
Post a Comment