Monday, November 26, 2012
Ubat Kuat Perlu Ada Kelulusan KMM, Jakim
Keghairahan masyarakat hari ini mendapatkan ubat kuat atau lebih tepat, ubat perangsang hubungan kelamin semakin menjadi-jadi dengan kewujudan pelbagai jenis ubat-ubatan yang dijual bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, pernahkah mereka terfikir sama ada ubat berkenaan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau sebaliknya?
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Air Jernih, Haradzi Harun berkata, sebagai pengguna tegar, mereka sepatutnya mengambil kira perkara itu untuk memastikan ubat berkenaan selamat digunakan.
"Pengguna perlu prihatin terhadap ubat yang diambil sama ada mempunyai label KMM sah atau sebaliknya, kerana hanya melalui KMM sahaja, kita dapat memastikan ubat dijamin keselamatan dan kesan pengambilannya.
"Dengan adanya label kelulusan ini, pengguna yakin kandungan yang digunakan selamat dan tidak mendatangkan kemudaratan di kemudian hari," katanya.
Bagaimanapun katanya, logo halal yang dikeluarkan Jakim juga perlu diberi perhatian kerana bimbang ia dibuat daripada bahan terlarang terutama bagi umat Islam.
Sementara itu menurutnya, minuman tenaga yang dijual secara paket kecil di warung mahupun restoran juga perlu ada kelulusan.
"Pelanggan tidak pernah bertanya pada peniaga sama ada minuman berkenaan selamat atau tidak. “Mengambil ubat dan minuman untuk kuat tidak menjadi masalah terutama mereka yang berusia tetapi langkah ini perlu dijadikan garis panduan bagi memastikan kesihatan tubuh badan turut terjamin,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada segelintir pengeluar produk mengambil jalan singkat dengan meletakkan label KMM dan logo halal yang tidak disahkan jabatan berkenaan.
“Peranan jabatan kesihatan dan Jakim penting bagi memantau ubat serta minuman yang berada di pasaran tidak menyalahgunakan label berkenaan,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment