Monday, November 26, 2012
Pegawai Agama Ziarah 494 Masjid Terengganu Tahun Depan
Mulai tahun depan, semua 494 masjid di seluruh Terengganu akan dilawati oleh sekumpulan 70 pegawai agama sempena Program Ziarah Masjid.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Rozali Salleh berkata program itu adalah yang pertama di negara ini berikutan kejayaan beberapa program turun padang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang telah diperkenalkan, sejak 2010.
"Melalui program ziarah ini, setiap pegawai yang terlibat perlu melawat sebuah masjid, setiap bulan dan melakukan perbincangan bersama anggota jawatankuasa masjid yang mereka lawati bagi mengenal pasti keperluan jemaah.
"Usaha ini diharap dapat merapatkan hubungan penduduk setempat bersama pegawai JHEAT dan seterusnya dapat mewujudkan saluran dua hala antara masjid dan jabatan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program itu, di Kuala Terengganu, semalam.
Rozali berkata program itu juga diharap dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk bersama mengimarahkan masjid dan tugas tersebut perlu dipelopori petugas di JHEAT.
Tegas beliau, jika semua pegawai dapat menjalankan tugas dengan baik, kesemua 494 buah masjid itu dapat dilawati dalam tempoh tujuh bulan dan program ziarah itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Selain itu, Rozali turut berharap agar kesemua pegawai agama di negeri itu dapat menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid supaya dapat berdampingan dengan masyarakat setempat.
"Kita tidak mahu ada pegawai agama yang tidak tahu di mana lokasi sesebuah masjid itu atau ada anggota jawatankuasa masjid yang tidak kenal pegawai agama kerana keadaan itu tidak memberi sebarang manfaat terhadap perkembangan syiar Islam di Terengganu," katanya
Teganukita
No comments:
Post a Comment