Friday, December 7, 2012

103 Pasukan Combi Di Terengganu Berjaya Kekang Demam Denggi Di Kawasan Wabak

Kewujudan 103 pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) di Terengganu bagi membanteras kes demam denggi berjaya mengekang penyakit itu daripada wabak.

Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkata walaupun negeri ini mencatat peningkatan bilangan kes demam denggi sebanyak 700 kes sehingga 1 Dis berbanding hanya 617 kes tempoh sama tahun lepas, Combi telah memainkan peranan penting dalam pengawalan kes demam denggi.

"Saya sangat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Combi yang bekerjasama dengan 40 panel penasihat di klinik kesihatan di seluruh negeri ini kerana berjaya mengatur pelbagai program dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya demam denggi.

"Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak Combi ditubuhkan di Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini sentiasa peka dengan tahap kesihatan dan kebersihan persekitaran mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Combi, Panel Penasihat dan kumpulan pengawal penyakit tidak berjangkit di Kuala Terengganu, semalam.

Johan pertandingan Combi peringkat Terengganu dimenangi oleh Combi Bukit Mentok, Kemaman yang berjaya mengurangkan kes demam denggi daripada tujuh kes pada tahun 2010 kepada tiga kes tahun lepas dan mencatatkan hanya satu kes tahun ini.

No comments:

Post a Comment