Saturday, December 1, 2012

15 Dikenal Pasti Sesuai Untuk Sukan Luncur Ombak Di Terengganu

Wan Ahmad (dua kanan) menerima cendeamata daripada wakil penganjur selepas hadir pada pelepasan peserta Pertandingan Sukan Luncur Ombak ke-2 di Pantai Batu Burok semalam
Kerajaan Terengganu mengenal pasti 15 lokasi di sepanjang pesisiran pantai negeri itu yang sesuai untuk penganjuran sukan luncur ombak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata sehubungan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana penganjur sukan pantai tersebut untuk mengadakan kejohanan sukan luncur ombak secara besar-besaran.

"Buat masa ini, kejohanan sukan luncur ombak ini masih dianjurkan di Pantai Batu Buruk dan 15 lokasi tersebut kini sering digunakan oleh anggota persatuan sukan luncur ombak untuk latihan mereka.




"Kita bersedia untuk membangunkan prasarana dan kemudahan yang sesuai di kesemua 15 lokasi tersebut jika acara sukan luncur ombak ini semakin mendapat sambutan di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta sukan luncur ombak di Pantai Batu Buruk semalam.

Seramai 120 peserta antarabangsa dari 12 negara seperti Thailand, Maldives, Indonesia dan Taiwan menyertai kejohanan enam bintang itu, yang bermula semalam  hingga esok.

Sebanyak RM259,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi menjayakan kejohanan tiga hari bermula semalam yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Rip Curl Malaysia dan Asian Surfing Championship (ASC). Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu,

Pertandingan sukan luncur ombak ‘Terengganu Rip Curl Pro Contest 2012’ ini adalah merupakan kesinambungan kepada acara ‘Terengganu Quicksilver Best Event Surf Contest 2011’

 "Memasuki edisi kedua, pertandingan bertaraf antarabangsa yang diadakan pada kali ini telah menarik minat peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Taiwan dan lain-lain negara.

"Sebagai tanda sokongan beberapa juara Asia sukan ekstrem ini turut hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi kejohanan,” ujarnya.

Pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dan dalam pada itu, 15 lokasi telah dikenalpasti di negeri ini yang boleh dibangunkan untuk sukan luncur ombak ini.

"Jika ada pihak yang ingin bekerjasama dalam menganjurkan acara sebegini pada masa akan datang, pihak kerajaan negeri tidak keberatan untuk sama-sama menjayakannya,” katanya.

Menurut Wan Ahamad, selain bertujuan mempromosikan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan bagi acara sukan air, pertandingan seumpama ini juga dianjurkan untuk menarik minat golongan remaja khususnya menceburi sukan yang mencabar ini.

"Selaras dengan hasrat kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 13), sukan luncur ombak dilihat mampu menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini,” ujarnya.

Difahamkan, selain pertandingan luncur ombak, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti pertandingan fotografi dan permainan sukan pantai seperti permainan layang-layang, permainan ATV dan kuda bagi memeriahkan suasana di persekitaran pantai Batu Buruk sepanjang kejohanan ini berlangsung.

No comments:

Post a Comment