Sunday, December 30, 2012

3,000 Belia Bantu Mangsa Banjir Terjejas Teruk

Ahmad Shabery (kiri) menyerahkan peralatan mencuci kepada Sukarelawan Belia 1Malaysia Pasca Banjir KBS untuk membersihkan kesan-kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Geliga, Kemaman semalam.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan lebih 3,000 belia di seluruh negara akan mendaftar sebagai Sukarelawan Belia 1Malaysia Pasca Banjir KBS.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program itu dilancarkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk di empat buah negeri.

“Kita menyasarkan lebih 3,000 golongan belia akan mendaftar dalam program ini bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.


“Bagi saya, ia menjadi satu amalan mulia apabila berlaku bencana, belia seluruh negara tergerak hati menghulurkan bantuan,” katanya selepas majlis pelancaran program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Geliga di Kemaman, semalam.

Ahmad Shabery berkata, niat murni itu terbukti apabila lebih 500 sukarelawan yang mendaftar untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kemaman.

Beliau menyifatkan kesedaran belia untuk menyahut cabaran menjadi sukarelawan membuktikan wujud transformasi dalam golongan itu berbakti kepada negara.

“Antara skop tugasan sukarelawan ini adalah membersihkan kawasan dan rumah mangsa banjir. “Mereka juga boleh bertindak memberi motivasi dan kaunseling kepada mangsa-mangsa banjir,” jelasnya.

Beliau menambah, KBS memerlukan sekurang-kurangnya tiga sukarelawan dalam tugas pembersihan sebuah rumah.

No comments:

Post a Comment