Sunday, December 9, 2012

55,000 Nelayan Akan Dilindungi Insurans - Mohd Jidin

Kira-kira 55,000 nelayan di seluruh negara bakal dilindungi insurans kemalangan diri berkuat kuasa tahun depan seiring dengan langkah transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menjaga kebajikan serta menjamin masa depan golongan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, semua nelayan yang memegang kad e-petrol dan e-diesel layak menikmati kemudahan itu yang memperuntukkan pampasan berjumlah RM100,000 jika terlibat dalam kemalangan maut di laut.

Katanya, bagi melayakkan nelayan menikmati kemudahan itu, sebanyak RM100 akan dipotong sekali dalam setahun daripada bayaran sara hidup nelayan untuk caruman kepada insurans tersebut.

Menurutnya, beberapa program baru selaras dengan transformasi kerajaan sedang dirangka bagi memenuhi kehendak rakyat dan disesuaikan dengan tuntutan semasa demi kesejahteraan kaum nelayan negara ini.

"Dengan adanya kemudahan insurans yang disediakan kerajaan, masa depan kaum nelayan di negara ini serta keluarga mereka akan lebih terjamin,'' katanya yang juga Ahli Parlimen Setiu kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Klinik Kesihatan Jabi di Dewan Sivik Kampung Pak Wong kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Warga Emas Jabi dan menyampaikan sumbangan RM200 setiap orang kepada 200 warga emas yang berdaftar dengan kelab itu.

Mohd. Jidin berkata, satu kajian juga sedang dijalankan bagi melihat sejauh mana aspek kemudahan pinjaman, bantuan minyak, lesen dan pemberian peralatan boleh menjana pendapatan ekonomi nelayan.

"Kajian ini dibuat untuk memperbaiki keberkesanan dasar yang dibuat sebelum ini supaya ia bukan sahaja memberikan kemudahan kepada nelayan tetapi pada masa sama boleh membantu meningkatkan sumber pendapatan nelayan," ujarnya. 

Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment