Friday, December 7, 2012

Kedudukan Lebih Baik Malaysia Dalam Indeks Persepsi Rasuah Tingkat Keyakinan Pelabur

Imbas Kembali...Najib  pada majlis Pecah Tanah Loji Biometionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh, Oktober lalu.
Kedudukan lebih baik yang dicapai Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia, di kalangan pelabur asing dan domestik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Beliau berkata penilaian dan kedudukan berkenaan sangat penting kepada Malaysia sebagai ekonomi membangun untuk menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan pergerakan perdagangan untuk membangunkan negara.
 
"Pelabur-pelabur asing tidak akan berminat untuk melabur di negara-negara yang mempunyai rasuah pada tahap yang tinggi.

Oleh itu, kedudukan ini amat menggalakkan untuk Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya.'

Menteri Besar, Ahmad Said melintasi backdrop perjanjian kerajaan negeri dengan Eastern Steel dari China pada majlis menandatangani perjanjian pelaburan syarikat China itu di Terengganu.
Mustapa berkata pujian terhadap pencapaian itu perlu diberikan kepada usaha-usaha berterusan kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras rasuah di semua peringkat dalam sektor awam dan swasta.

"SPRM telah melakukan kerja yang hebat dan saya berpendapat dengan usaha berterusan mereka, kedudukan yang lebih baik boleh dicapai pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Sementara itu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan terus memerangi rasuah dan memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Perdana Menteri dalam mesej terbaharu Twitternya malam tadi berkata: "Malaysia meningkat enam tempat lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah, menjadikan kita tempat ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

"Kedudukan yang akan sentiasa kita perbaiki."

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Transparency International mengenai kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam CPI tahun ini iaitu kedudukan ke-54 berbanding ke-60 tahun lalu.

Malaysia meraih 49 daripada 100 mata dalam kajian yang mengukur tahap rasuah dalam sektor awam daripada 176 negara. Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara ASEAN, iaitu di belakang Singapura (kelima dunia) dan Brunei di tempat ke-46 dunia.

No comments:

Post a Comment