"Saya suruh dia mengucap berkali-kali dan mengingatkan yang saya ini mak dia, bagaimanapun dia hanya mendiamkan diri."
Demikian cerita seorang wanita, 58, yang berdepan detik mencemaskan apabila diacukan pisau di leher oleh anak kandungnya, dalam satu kejadian di Kampung Nibong, Jalan Panji Alam, di Kuala Terengganu, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, suspek, 34, yang juga anak kedua daripada empat beradik berjaya melarikan seutas rantai di leher mangsa bernilai kira-kira RM5,000 sebelum bertindak melarikan diri.
Menurut ibu malang itu, semasa kejadian dia yang hanya tinggal dua beranak bersama suspek di rumah, sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan tindakan suspek yang meletakkan pisau pada lehernya.
“Ketika itu anak saya hanya mendiamkan diri, tidak berkata apa-apa, sekadar mengacukan pisau itu sebelum dia mengambil tali dan mengikat kedua belah tangan saya.
“Bagaimanapun, dia tidak agresif dan tidak mencederakan saya langsung,” katanya.
Menurutnya, disebabkan ikatan tali itu tidak kuat, dia berjaya melepaskan diri sebelum nekad merampas pisau dari tangan suspek dan melarikan diri dengan menjerit meminta tolong daripada jiran.
“Mungkin terkejut melihat tindakan saya lebih-lebih lagi mendengar saya menjerit sekuat hati meminta tolong, dia melarikan diri dengan terjun dari tingkap di biliknya dan sehingga sekarang tidak balik,” katanya.
Wanita itu juga langsung tidak sedar bila suspek mengambil rantai dipakainya.
Wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu kerana bimbang keselamatannya terancam pada masa akan datang.
Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
“Usaha menjejaki suspek sedang dijalankan dan kami minta kerjasama orang awam memberi maklumat berkaitan suspek,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
No comments:
Post a Comment