Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,919.55 kepada Aman Palestin Bhd, hasil program larian amal untuk Gaza yang disertai kira-kira 400 pelajarnya di sekitar kampus universiti itu semalam.
Pengerusi program, Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata aktiviti amal itu adalah anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Unit Pengurusan Kualiti dan Jawatankuasa Sukan Pelajar.
"Selain mengutip dana hasil yuran penyertaan, program ini juga diharap dapat meningkatkan kualiti kesihatan pelajar melalui aktiviti fizikal yang dijalankan," katanya selepas penyerahan cek itu yang disempurnakan Ketua Unit Pengurusan Kualiti UiTM Dungun, Profesor Madya Dr Khalipah Ibrahim.
Sementara itu, Pengurus Aman Palestin cawangan Terengganu, Mohammad Sirojul Afkar Hamid berharap sumbangan kewangan untuk penduduk Gaza akan dihulurkan secara berterusan oleh rakyat negara ini.
"Sehingga ini, kami telah menerima RM30,000 dalam tempoh sebulan hasil sumbangan pelbagai pihak di Terengganu dan bantuan ini disalurkan secepat mungkin kepada Gaza untuk memenuhi keperluan harian mereka yang sangat kritikal di sana," katanya.
UiTM Dungun sebelum ini kerap mengadakan larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu penduduk miskin di sekitar kampus itu yang memerlukan sumbangan kewangan.
No comments:
Post a Comment