Saturday, December 1, 2012

Bank Dunia - Malaysia Catat Pertumbuhan KDNK Sebenar 5.1 Peratus pada 2012

Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 5.1 peratus pada 2012 dan 5.0 peratus pada 2013, demikian menurut satu laporan baharu Bank Dunia.

Pemantauan Ekonomi Malaysia yang dilancarkan kelmarin berkata, dengan dorongan permintaan domestik, ekonomi mungkin berupaya mengharungi persekitaran global yang lemah dan berkembang dengan kukuh tahun depan.

Laporan itu juga berkata reformasi struktur ekonomi yang semakin mengukuh merupakan kunci ke arah memastikan momentum pertumbuhan positif berlanjutan dalam jangka sederhana.

Ia berkata memandangkan pelaburan telah meningkat dalam sektor-sektor berkaitan komoditi, maka penting dipertingkatkan produktiviti dalam bahagian-bahagian ekonomi yang lain, terutamanya perkhidmatan, yang menjana sebahagian besar pekerjaan.

"Untuk mencapai peningkatan produktiviti jangka panjang, Malaysia perlu mempercepat pelaksanaan reformasi seperti yang digariskan dalam Model Baharu Ekonomi kerajaan, untuk meningkatkan persaingan dan keupayaan dalam ekonomi," katanya.

Siri Pemantauan Ekonomi Malaysia memberikan perspektif analitis tentang cabaran-cabaran dasar yang dihadapi oleh Malaysia seiring dengan perkembangannya ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Siri ini juga merupakan usaha untuk mendekati khalayak yang lebih luas, termasuk pembuat dasar, pemimpin sektor swasta, peserta pasaran, masyarakat awam dan akademia. Laporan ini boleh diakses melalui laman sesawang www.worldbank.org/malaysia.

No comments:

Post a Comment