Sunday, December 23, 2012

Muhyiddin Yakin BN Terus Kekal Perintah Terengganu Selepas PRU-13

“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang...Marilah kita sama-sama tekad dan berazam untuk membawa perubahan kepada masyarakat Islam di negeri kita ini di bawah Umno dan BN."
 - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Terengganu akan kekal diperintah BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang melalui sokongan setiap lapisan rakyat jelata yang ingin melihat perubahan dan pembangunan berterusan di negeri ini.

Menyatakan keyakinannya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam berkata sokongan rakyat Terengganu kepada Umno dan BN dijangka meningkat pada PRU-13 berbanding pilihan raya umum yang lepas.


"Marilah kita sama-sama tekad dan berazam untuk membawa perubahan kepada masyarakat Islam di negeri kita ini di bawah Umno dan BN," katanya.

Beliau menyatakannya pada majlis Jamuan Rakyat 1 Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir yang dihadiri kira-kira 15,000 rakyat semalam.

Pada majlis di Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM2.9 juta untuk membaik pulih rumah orang miskin dan beberapa projek kemudahan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Beliau menyifatkan kehadiran luar biasa pada majlis itu sebagai petanda awal Barisan Nasional (BN) menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, pada pilihan raya akan datang.


“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerap datang ke negeri ini bagi melihat usaha-usaha dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Kita mahu memastikan program dan projek berkenaan dapat memberi faedah yang maksima kepada rakyat. Kita mahu negeri Terengganu berubah wajah menjadi negeri yang maju,” katanya.

Berucap pada majlis yang sama, Menteri Besar berkata selepas 32 tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah cengkaman Pas, beliau harap masyarakat di situ wajar mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.


Sudah sampai masanya penduduk Manir membuat perubahan dan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Dia perintah pun tak beri apa-apa kepada rakyat, pemimpin BN juga yang datang bantu orang sakit dan baiki rumah orang susah,” kata Ahmad Said ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir. Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya, sehingga ini sudah 347 unit rumah mampu milik dibina oleh kerajaan BN untuk masyarakat dalam kawasan ini.“Saya janji jika DUN Manir menang BN selepas PRU nanti, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 20,000 hadirin yang membanjiri padang bola.

Tambahnya, tiga gelanggang futsal lagi akan dibina sebagai tambahan untuk golongan muda menjalan aktiviti masing-masing.

“Saya harap rakyat memilih kerajaan BN untuk terus kekal memerintah negeri dan negara dan menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya

No comments:

Post a Comment