Sunday, December 23, 2012

UMNO Terengganu Mahu Hadi Tarik Balik Amanat, Mohon Maaf

 

Penerangan Umno Terengganu meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak segera menarik balik amanatnya, tiga dekad lalu, yang menggambarkan Umno kafir.

Ketuanya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang kesal dengan sikap Abdul Hadi apabila pemimpin Pas itu sehingga kini tidak mengendahkan gesaan dibuat terhadapnya berkata, pihaknya akan mendesak secara berterusan sehingga amanat yang dibuat di Banggol Peradong pada 1981 itu ditarik balik.

Menurutnya, beberapa langkah akan turut dilakukan selagi Abdul Hadi masih berdiam diri termasuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat tersebut.

“Kita juga akan menggerakkan seluruh Umno Bahagian dan Cawangan Negeri Terengganu agar menjelaskan perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian kelmarin.

Dalam masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Umno Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanat terbabit.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan turut menerbitkan bahan bacaan dan tontonan berhubung kenapa Amanat Haji Hadi itu dianggap sesat dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain.

Menyentuh perkara sama, pihaknya turut menyatakan sokongan terhadap usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecahbelahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dengan membuat penjelasan wajar.

“Kita berharap melalui ‘berperang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat ini sehingga ia ditarik balik adalah suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak amanat ini dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya.

Amanat Haji Hadi kembali menjadi perhatian apabila media melaporkan mengenai pendedahan terbaru bekas aktivis Pas dan ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau C.N al-Afghani yang mendakwa masih ramai ahli parti itu menganggap Umno sebagai kafir ekoran amanat terbabit.

Perkara itu didedahkan Zainon dalam bukunya bertajuk ‘Kafirkah Aku?’ dan petikan kandungan tersebut sebelum ini turut dibaca Adun Jabi dari Barisan Nasional (BN), Ramlan Ali ketika sesi perbahasan ucapan Bajet 2013 Sidang Dun ke-12 di Wisma Darul Iman pada 12 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment