Wednesday, December 26, 2012

Bot Karam Di Pelabuhan Cendering Akibat Angin Kencang, Ombak Besar

Dua bot yang berlabuh di Pelabuhan Perikanan Cendering di Kuala Terengganu tenggelam akibat angin kencang dan ombak besar Isnin lalu. Kedua-dua bot terbabit ialah TRS 749(U2) kapal menunggu peranti-peranti unjam dan TRS 889 pukat jerut C2 laut dalam.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd Saffe Mohd berkata, usaha untuk menyelamatkan bot berkenaan sudah dibuat tetapi gagal kerana angin kencang.

"Bot TRS 749(U2) itu hancur manakala bot TRS 889 pukat jerut C2 pula mengalami kerosakan dan tenggelam," katanya hari ini.

Katanya, semasa kejadian tiada orang atau anak kapal di dalam kedua-dua bot berkenaan dan usaha menimbulkan bot TRS 889 akan dilakukan apabila keadaan cuaca baik nanti.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 6 pagi hari berkenaan apabila tali penambat bot terputus menyebabkan bot hanyut dan melanggar benteng pelabuhan.

Katanya, badan bot peranti terbabit berkecai manakala bot pukat jerut mengalami kesosakan lalu tenggelam akibat kejadian di luar jangkaan itu. Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, bot yang ditambat di semua pelabuhan LKIM di seluruh negeri ini, perlu diawasi selalu oleh pemiliknya.

"Mereka hendaklah pastikan bot ditambat dengan kemas bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan nelayan berehati-hati keluar ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan cuaca tidak menentu sekarang ini.

1 comment:

  1. Sebnrnya saya terkejut mmbaca srt khbr hari ini menyatakan harga bot nordin adalah 1.5 juta . Terus teringin saya melihat gambar bot berkenaan semasa dalam keadaan baik dan masih berusaha mencari. Mahalnye bob ni

    ReplyDelete