Sesi persekolahan 2013, yang akan bermula 1 dan 2 Jan nanti mungkin ditangguhkan bagi sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Sufa'at Tumin berkata, keputusan itu akan ditentukan Pengarah Pelajaran Negeri berdasarkan maklumat yang diterima melalui Majlis Keselamatan Negara dan Bilik Gerakan Banjir Negeri.
"Kita akan tengok keadaan. Tapi setakat ini kita masih belum buat sebarang keputusan kerana ada seminggu lagi sebelum sekolah bermula, mungkin banjir sudah surut dan sekolah dapat berjalan seperti biasa pada masa itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini
Sufa'at berkata, persiapan yang sepatutnya juga sudah diambil bagi memastikan kelengkapan di sekolah tidak rosak akibat banjir termasuk kerusi, meja dan komputer.
Bagi sesi persekolahan kali ini, Sufa'at berkata Kelantan, Terengganu dan Kedah akan memulakan sesi persekolahannya pada Selasa depan dan berakhir 31 Disember tahun depan, sementara negeri-negeri lain akan bermula Rabu depan dan berakhir 1 Januari 2014.
Beliau berkata, ia membabitkan sejumlah 205 hari persekolahan termasuk cuti am dan jumlah cuti penggal sebanyak 84 hari.
"Sejumlah 425,665 murid akan memulakan persekolahan Tahun Satu manakala 533,135 lagi akan memulakan persekolahan Tingkatan Satu, menurut pendaftaran setakat ini dan dijangka akan meningkat apabila sesi persekolahan bermula nanti," katanya.
Sufa'at berkata, 23 sekolah baru akan beroperasi tahun depan iaitu 14 sekolah rendah, lapan sekolah menengah dan sebuah sekolah sukan di Sabah
Beliau berkata, Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) juga akan diperluas kepada 2,053 sekolah di seluruh negara termasuk sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) yang mempunyai murid beragama Islam, menjadikan jumlah yang melaksanakan program itu sebanyak 6,928 sekolah.
Sufa'at berkata, Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada murid warganegara dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima sebanyak RM100 akan dibuat pada 15 Januari dan akan diagih-agihkan selewat-lewatnya 15 Februari dan sebarang pemotongan oleh pihak sekolah adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Beliau berkata, Bantuan Baucar Buku sebanyak RM250 juga akan diberikan kepada pelajar warganegara di institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi, Tingkatan Enam Atas dan setaraf yang aktif pada 1 Januari-31 Mac 2013, di mana 157,149 pelajar didapati layak menerima kemudahan itu, dan tempoh penggunaan baucar adalah dari 1 Januari hingga 31 Mei 2013.
Beliau turut mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan bagi mengelakkan sebarang isu atau kekeliruan berhubung pemansuhan bayaran tambahan persekolahan.
"Yang perlu pada hari pertama persekolahan adalah keperluan asas sahaja iaitu pakaian seragam, alat tulis, buku latihan, peralatan teknikal dan pendidikan seni, lencana dan tag nama.
Yang lain termasuk pungutan yuran tidak perlu dibuat terlalu awal kerana ibu bapa sudah mengeluarkan banyak peruntukan untuk menyediakan keperluan ini," katanya.
Sufa'at berkata, bagi memastikan guru yang mencukupi di setiap sekolah, pengambilan guru ganti adalah dibenarkan mulai 1 Januari nanti bagi menggantikan guru bersalin, guru bercuti menunaikan haji, guru bercuti belajar dan guru yang bercuti tanpa gaji.
Beliau berkata, soal buku teks juga tidak sepatutnya ada sebarang masalah kerana ia sudah mula diedarkan ke sekolah-sekolah sejak 10 Disember lalu, begitu juga dengan isu kerusi dan meja.
"Kementerian sudah menubuhkan pasukan petugas untuk bermesyuarat dengan Jabatan Pelajaran Negeri dan bahagian-bahagian bagi memastikan pembukaan sekolah ini tidak ada masalah, supaya semua murid dapat belajar pada hari pertama persekolahan tanpa sebarang isu," katanya.
No comments:
Post a Comment