Sunday, December 16, 2012
CEC DAP - Semua Lapan Pemimpin Melayu Tewas, Seng Giaw Turut Tersingkir
Keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP semalam sekali lagi menyaksikan penguasaan dinasti keluarga dalam kepimpinan parti.
Selain itu kesemua lapan pemimpin DAP Melayu yang bertanding bagi merebut jawatan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC)disingkir apabila kalah dengan keputusan teruk pada Kongres Kebangsaan ke-16 DAP semalam.
Mengejutkan, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw (kanan) yang juga Ahli Parlimen Kepong tewas dalam pemilihan CEC parti itu.
Seng Giaw menerima 802 undi manakala Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy turut tewas dalam pemilihan kali ini dengan menerima 746 undi.
Seperti yang dijangka, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terus memperoleh sokongan kuat dengan meraih undi tertinggi iaitu 1,607 undi diikuti anaknya Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung parti dengan 1,576 undi.
Begitu juga Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh, yang memperoleh 1,411 undi dan anaknya, Gobind Singh Deo mendapat 1,197 undi.
Seorang lagi anaknya, Jagdeep Singh Deo, bagaimanapun gagal menyertai barisan kepimpinan pusat apabila cuma meraih 227 undi.
Dua pemimpin DAP Perak iaitu Setiausaha dan Pengerusi yang merupakan saudara sepupu, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham, masing-masing berjaya menganggotai jawatankuasa pusat itu apabila memperoleh 1,075 undi dan 824.
Anggota Parlimen Ipoh Barat M.Kula, yang memperoleh 984 undi, adalah satu-satunya pemimpin kaum India dalam barisan kepimpinan baharu bagi tempoh 2012-2015.
Keputusan tersebut sekaligus membuktikan parti dominasi kaum Cina itu tidak memberi laluan kepada mana-mana calon Melayu termasuklah Zairil Khir Johari, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Zairil cuma memperoleh 305 undi manakala Lim meraih 1,576 undi. Sejumlah 1,823 perwakilan mengundi bagi memilih 20 orang barisan kepimpinan DAP bagi tempoh 2012-2015.
Calon lain yang disingkir ialah Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang Zulkifli Mohd Noor (216 undi), Senator Ariffin S.M Omar (748), Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98), Roseli Abdul Ghani (39) dan Harun Ahmad (28).
Pada pemilihan lalu Ahmad Ton terpilih menjadi anggota CEC.
Zulkifli ketika ditemui berkata mesej yang diperjuangkannya selama 25 tahun untuk menempatkan kaum Melayu dalam CEC parti itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.
No comments:
Post a Comment