Sunday, December 2, 2012

Dua Remaja Perempuan Terbabit Kes Dadah Di Marang

Dua remaja perempuan berumur 18 dan 22 tahun adalah antara 14 ditahan membabitkan kes dadah dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Marang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kedua-dua remaja perempuan terbabit ditahan bersama dua lelaki, dipercayai teman lelaki masing-masing di dua rumah berasingan iaitu di Marang dan Bukit Payung.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di Marang, seorang remaja perempuan berumur 18 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berumur 19 tahun dan polis turut menemui serbuk kristal serta satu biji pil berwarna kemerah-merahan dipercayai dadah.

“Dalam serbuan berasingan, seorang lagi remaja perempuan berumur 22 tahun ditahan di Bukit Payung bersama seorang lelaki berumur 41 tahun di sebuah rumah dan menemui serbuk putih dipercayai dadah,” katanya.

Ahmad Mazlan berkata, polis berjaya merampas sebanyak 136 biji pil berwarna kemerah-merahan dan beberapa gram serbuk kristal serta serbuk berwarna putih dipercayai dadah selain beberapa gram ganja dalam operasi itu.

Menurutnya, tiga daripada suspek ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lapan daripada mereka disiasat mengikut Seksyen12(2) ADB 1952 dan dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Sementara itu, penahanan seorang lagi suspek mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan diteruskan bagi mengekang penyalahgunaan dadah,” katanya.

No comments:

Post a Comment