Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan bahawa cadangan pengambilan guru dari India untuk mengajar Bahasa Inggeris di Malaysia akan diteliti dengan terperinci.
Kementerian Pelajaran akan mengambil kira daripada pelbagai aspek bagi memastikan pengambilan guru itu bersesuaian dengan keperluan pendidikan di negara ini, katanya.
"Kita akan teliti apakah guru bahasa Inggeris dari India ini sesuai, ada kelulusan Cambridge atau Oxford (universiti) misalnya, boleh mengajar dengan baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan pegawai pengurusan dan profesional negeri Terengganu di Kuala Terengganu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam yang mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan pengambilan guru bahasa Inggeris dari India.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika lawatannya ke New Delhi dua hari lepas, berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India.
No comments:
Post a Comment