Sunday, December 23, 2012

Lagi Kisah Anak Ugut Mahu Belasah Ibu Di Gong Badak


Si Tanggang moden! Sudahlah bertindak mencuri barang kemas milik ibunya, tidak cukup dengan itu, seorang anak tergamak mengugut akan membelasah mangsa apabila perbuatannya itu diketahui dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Jati, Gong Badak Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, suspek, 32, bertindak mencuri seutas gelang tangan dan cincin emas berlian milik ibunya, 61, apabila bengang permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan.

Menurut sumber, kedegilan mangsa yang enggan memberikan wang seperti diminta menyebabkan suspek naik angin sebelum mengambil sebentuk cincin emas berlian dan seutas gelang tangan emas berlian milik mangsa.

“Suspek menyorokkan barang kemas itu di dalam almari selain mengugut mahu membelasah mangsa apabila perbuatannya itu disedari,” katanya.

Katanya, bimbang perkara tidak diingini mungkin akan berlaku, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, beberapa jam selepas kejadian itu.

Susulan laporan diterima, sepasukan polis berjaya menahan suspek di depan rumah mereka dan hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri barang kemas milik ibunya.

Sumber berkata, suspek mendakwa barang kemas berkenaan disimpan di dalam peti di bilik tidur mangsa dan pemeriksaan lanjut berjaya menemui barang kemas berkenaan dengan gelang tangan emas sudah dipotong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisionar Zamri Shamsudin mengesahkan kejadian dan menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment