Thursday, December 20, 2012
Henti Sebar Khabar Angin Di Laman Sosial - Ketua Polis Negara
Ismail berkata masyarakat harus lebih bertanggungjawab serta memikirkan kesan negatif yang mungkin berlaku dengan penyebaran khabar angin yang tidak betul.
"Masyarakat seharusnya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian, bukan menyebar khabar angin di laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blog," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bandar Kinrara, Puchong semalam.
Ismail mengulas penyebaran khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah Kuala Muda, Kedah. Sambil menegaskan apa yang disebarkan di laman sosial itu tidak benar, Ismail berkata: "(Pengisytiharan) darurat pun tidak benar, kalau betul (darurat) mesti saya dah dimaklumkan."
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab dilaporkan berkata hasil siasatan dan risikan polis mendapati insiden yang berlaku tiada kaitan dengan permusuhan atau kebencian.
Dalam pada itu, Ismail ketika berucap pada majlis semalam berkata inisiatif rondaan bermotosikal itu menunjukkan PDRM tidak bersikap berpuas hati dalam aspek menjaga keselamatan awam.
Jelasnya, konsultansi berterusan dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan formulasi strategi dipacu Kementerian Dalam Negeri membolehkan pelbagai program digarap bagi memantapkan usaha mengurangkan jenayah.
Sementara itu, kerajaan sedia memperluaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) oleh anggota polis jika ia didapati berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini, kata Najib.
Katanya, operasi unit itu yang dilancarkan di Puchong semalam akan dikaji keberkesanannya dalam tempoh enam bulan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menambah peruntukan untuk tujuan itu.
"Saya berharap ia (URB) akan diberi peluang untuk melakukan tugasan mereka. Dalam tempoh masa enam bulan ini, kita akan buat kajian semula.
"Kalau buddy system iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, maka kerajaan sanggup menambah lagi bilangan anggota bermotosikal ini.
"Tidak payah tunggu Bajet 2014, Bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita komited dan serius untuk memerangi jenayah," katanya pada majlis pelancaran URB Polis Diraja Malaysia itu.
No comments:
Post a Comment