Thursday, December 20, 2012

Terengganu Kekalkan Momentum Kecemerlangan PMR Tahun Ke 8

 
 

Momentum kecemerlangan negeri Terengganu ternyata sukar disaingi apabila mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

Keputusan tahun ini memperlihatkan kualiti yang stabil dengan Gred Purata Negeri (GPN) 2.57 menyamai pencapaian tahun lalu sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 2.71 dan masih merupakan rekod pencapaian dalam tempoh lapan tahun sejak 2005.

Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terenganu adalah  satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di Terengganu  yang memperolehi 8A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd. Zin berkata, walaupun mencatat kegemilangan secara keseluruhannya, pencapaian peringkat cemerlang menurun sedikit.

Gred Purata Negeri (GPN) kekal 2.57 sebagaimana tahun lalu. Selain itu, GPN pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.65), 2009 (2.60) dan 2010 (2.58).


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata pengekalan peningkatan itu bukan suatu perkara yang mudah dicapai melainkan perlu berusaha dengan gigih, berterusan, semangat yang jitu dan bersepadu untuk memastikan prestasi tidak merosot.

“Dengan catatan angka yang sangat baik ini juga secara tidak langsung telah melonjak pendidikan negeri Terengganu ke tahap yang terkehadapan di peringkat kebangsaan.

“Prestasi keseluruhan juga merekodkan GPN Terengganu jauh mengatasi Gred Purata Nasional,” katanya ketika mengumumkan Keputusan PMR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Ketua Sektor Akademik, Mohd Zubir Embong.

Hashim berkata, walaupun mencatat kegemilangan keseluruhan PMR tahun ini, pencapaian peringkat cemerlang sedikit menurun berbanding tempoh tiga tahun sebelum ini apabila pencapaian Semua A berkurang 1.81 peratus.

"Pelajar yang memperolehi semua A pada 2009 (7.12 peratus), 2010 (7.81) dan tahun lalu (8.95 peratus)", katanya. Menurutnya, prestasi Minimum D yang meningkat selama tiga tahun berturut-turut sejak 2009 (56.26), 2010 (59.42) dan tahun lalu (60.01) juga menurun 0.17 peratus pada tahun ini (59.84).

Seramai 23,025 pelajar menduduki PMR seluruh Terengganu pada tahun ini berbanding 23,157 pelajar pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 22,229 orang sekolah bantuan kerajaan (96.54 peratus); 495 Maktab Rendah Sains Mara (2.14); 73 calon sekolah swasta (0.32) dan 228 calon persendirian (1.00).

Utusan Malaysia & Teganukita

No comments:

Post a Comment