Monday, December 10, 2012

Jangan Buang Plastik Ke Laut Elak Kepupusan Penyu


Golongan nelayan diingatkan tidak membuang sampah terutama beg plastik ketika di lautan bagi mengelakkan penyu mati akibat memakan sampah sekali gus menyebabkan kepupusan penyu.

Pengerusi Persatuan Khazanah Rakyat Ma’ Daerah (Mekar), Mamat @ Muhammad Mat Zain berkata, sampah terutama beg plastik memberi ancaman besar kepada penyu kerana beg plastik dalam air kelihatan seperti obor-obor yang merupakan makanan hidupan laut itu.

Menurutnya, penyu kemudiannya akan memakan beg plastik atau sampah lain yang disangka makanan sehingga menyebabkan berlakunya kematian.

“Daripada kajian sebelum ini, pada perut bangkai penyu yang ditemui terdampar di tepi laut terdapat beg plastik dan bahan asing lain. “Sekiranya keadaan ini berterusan dan sampah terus dibuang ke lautan ia akan menyebabkan kepupusan penyu dan akhirnya manusia yang akan rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Menyelamat, Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Bersama Nelayan anjuran Mekar yang diadakan di Balai Belia 4B Pekan Kerteh, dekat Kerteh, kelmarin.

Seramai 50 nelayan sekitar Kerteh berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun menyertai bengkel berkenaan yang dikendalikan tiga penceramah iaitu Pegawai Penguasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuala Terengganu, Kapten (M) G Xavier Thevadas; Pegawai dari Pusat Santuari Penyu Rantau Abang, Abd Halim Mohd Nor dan wakil Mekar sendiri.

Muhammad berkata, bengkel itu bertujuan memberi kesedaran kepada nelayan agar tidak membuang sampah di lautan kerana menyedari tabiat buruk itu boleh menyumbang kepada kepupusan penyu.

“Nelayan adalah individu paling dekat dengan laut dan hampir setiap hari turun ke laut mencari rezeki, jadi nelayan perlu menjaga kebersihan lautan dengan tidak mencampak sampah ketika berada di dalam bot di tengah lautan.

"Kadangkala, beg plastik kuih muih dibuang ke dalam laut selepas habis makan," katanya.

No comments:

Post a Comment