Monday, December 10, 2012

Pengunjung TTI Dijangka Meningkat 20 peratus Tahun Ini

Jumlah pengunjung ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini dijangka meningkat sebanyak 20 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata pada tahun lepas hampir 600,000 pelawat mengunjungi TTI.

"Angka sebenar tahun ini belum ada lagi, tapi saya jangka peningkatan sebanyak 20 peratus daripada tahun lepas," katanya di Kuala Terengganu.

Katanya jangkaan itu berdasarkan kepada banyaknya program yang dijalankan pihak pengurusan TTI sepanjang tahun ini, terutamanya ketika musim cuti persekolahan.

Berdasarkan trend lalu, jumlah pelawat tertinggi yang mengunjungi TTI tahun lalu ialah sekitar bulan Mei iaitu seramai 55,463 pelawat, Jun (73,986), September (52,397), Oktober (62,736), November (53,000) dan Disember (52,000) pelawat, katanya.

Abdul Rahin berkata Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 kelak, dijangka menyumbang kepada kerancakan pengunjung ke TTI memandangkan ia merupakan antara destinasi pelancongan yang hebat dipromosikan. TMT menyasarkan untuk menarik lebih 4 juta pelancong ke negeri ini, ujarnya.

No comments:

Post a Comment