Pemimpin dan anggota parti pembangkang diminta tidak mengganggu para peneroka di Rancangan Felda di negeri ini supaya mereka dapat hidup dalam suasana penuh harmoni dan mengekalkan perpaduan.
Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, tidak ada sebab anasir luar terutama dari kalangan pembangkang masuk ke tanah-tanah rancangan bagi membetulkan keadaan kerana kehidupan peneroka di Terengganu kini baik dan aman.
Katanya, cubaan anasir luar membabitkan kumpulan yang ditaja pembangkang
ke beberapa rancangan tanah di negeri ini termasuk ke Felda Selasih
semalam ternyata berniat jahat untuk memporakperandakan keamanan yang
sekian lama terjalin di kalangan peneroka di situ.
“Saya bersyukur peneroka Felda Selasih telah menolak golongan itu bagi memastikan suasana aman dan tenteram yang dikecapi mereka tidak diganggu-gugat”, katanya kepada media selepas merasmikan penubuhan Kelab Warga Emas Dun Jabi di dewan orang ramai Kampung Pak Wong kelmarin.
Dalam kejadian lewat petang semalam peserta Konvoi Kembara Oren dari Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) serta penyokong Pas telah membuat cubaan untuk masuk menyebarkan risalah di Felda Selasih, dekat Jertih tetapi telah dihalang oleh peneroka Felda terbabit.
Dalam kejadian yang bermula jam 5.00 petang dan berakhir sejam 6.30 petang itu kira-kira 200 peneroka termasuk isteri serta anak generasi kedua Felda Selasih berhimpunan secara aman dan menyekat kemasukan konvoi di pintu masuk utama rancangan tanah berkenaan.
Peneroka menggunakan wanita sebagai benteng ketika membantah kemasukan 80 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi kembara bermula dari Johor itu.
Konvoi yang diketuai Presiden Analk, Mazlan Aliman mengadakan rundingan dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Felda diketuai Pengerusinya, Alias Abdul Ghani, tetapi pihak JKKF tidak memberi kebenaran.
Selepas berunding kira-kira sejam akhirnya pihak Anak mengalah dan meneruskan konvoi ke Felda Tenang, Hulu Besut kira-kira jam 6.30 petang.
No comments:
Post a Comment