Pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bikana dari Cameroon. |
E.Elavarasan berkata melalui gaya persembahan pemain import itu, beliau optimis skuad penyu boleh pergi jauh tahun depan berbanding tahun ini.
"Saya rasa pemain import skuad penyu musim depan lebih mantap dan lebih berbisa," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang Perlis di Kuala Terengganu, malam kelmarin dengan keputusan Terengganu menang 4-0.
Skuad penyu telah mengikat dua pemain import yang berasal dari Cameroon bagi menghadapi Liga Malaysia 2013 iaitu Effa Owana dan Vincent Bikana. Owana yang juga bekas pemain Negeri Sembilan 2012 merupakan pemain penyerang manakala Bikana pula adalah pemain bahagian pertahanan.
Mengulas lanjut Elavarasan berkata bagaimanapun masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai prestasi sebenar pasukan penyu yang masih dalam ujian itu.
Tambahan pula, katanya ramai pemain utama yang belum menyertai pasukan seperti Manaf Mamat, Mohd Zubir Azmi, Faizal Mohamad, Nasri Azzat dan Rosdi Talib.
Elavarasan berkata kekuatan sebenar skuad penyu hanya akan diketahui dalam beberapa minggu lagi apabila semua pemain itu menyertai pasukan.
"Sekarang, kita sedang rancak mengadakan perlawanan persahabatan dalam proses melihat di mana kelemahan dan cuba mengatasinya," katanya sambil menambah skuad penyu akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Tok Gajah (Pahang), di Kuantan minggu depan.
No comments:
Post a Comment