Sunday, December 16, 2012

JPJ Kenal Pasti 49 Lokasi AES Di Terengganu


Sebanyak 49 lokasi dikenal pasti oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dipasang kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di negeri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, daripada jumlah itu, 29 AES akan dipasang bagi had laju iaitu kawasan sering berlaku kemalangan terutama yang melibatkan kematian dan 20 di kawasan lampu isyarat.

“Daripada 831 lokasi di seluruh negara, 49 akan dipasang di Terengganu. Penggunaan AES ini bukan sebagai perangkap had laju tetapi usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan terutama melibatkan kematian.

“Punca berlaku kemalangan, 30 peratus adalah sebab langgar lampu isyarat dan juga melebihi had laju. Pemandu boleh mengetahui lokasi pemasangan kamera AES melalui papan tanda yang dipasang sebelum mereka memasuki zon operasi kamera tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum mesyuarat tertutup bersama pegawai JPJ Terengganu, di sini.

Menurutnya, tiga papan tanda sebagai peringatan kepada pengguna mengenai AES ini akan dipasang iaitu dua kilometer, satu kilometer dan 500 meter serta banyak papan tanda bagi AES lampu isyarat untuk mengingatkan pengguna jalan raya.

Selain di pasang AES secara statik, turut dipasang secara mobil di kawasan tertentu terutama yang sering berlaku kecurian dan vandalisme serta yang tidak mempunyai sumber elektrik.

No comments:

Post a Comment