Seorang jurubahasa wanita kerugian kira-kira RM300,000 setelah disamun empat lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk kediamannya di Taman Semarak di Kuala Terengganu kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang berumur 32 tahun, bersama ibunya berada di tingkat atas kediaman berkenaan sebelum didatangi empat penjenayah yang bersenjata dan bertopeng.
Katanya seorang daripada suspek bertindak mengikat mangsa bersama ibunya sebelum menyamun beberapa buah telefon bimbit, komputer riba, barangan kemas serta wang tunai dan kemudian menyuruh mangsa membuka peti besi.
"Mangsa bagaimanapun enggan dan cuba memperdayakan suspek dengan mengatakan kunci peti besi berkenaan berada di dalam kereta," katanya ketika dihubungi kelmarin.
Berang dengan jawapan itu, katanya suspek bertindak memukul dan menumbuk mangsa selain cuba memenggal kepala anak saudaranya berusia empat tahun yang berada di ruang tamu.
Manoharan berkata selepas merayu supaya anak saudaranya itu dilepaskan, mangsa membuka peti besi dan menyerahkan barangan berharga di dalamnya kepada suspek yang kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
No comments:
Post a Comment