Keluarga kembar siam pertama di Terengganu terus mendapat perhatian dan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) yang menghulurkan sumbangan kewangan RM1,500 dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Penolong Kanan Setiausaha Pengurusan Zakat Maidam, Nazli Ngah berkata pihaknya berharap sumbangan itu dapat membantu keluarga tersebut menjalani hidup dengan lebih selesa dan memastikan kedua-dua bayi kembar siam berkenaan mendapat penjagaan yang baik.
"Keseluruhannya, Maidam telah memperuntukkan RM37,500 kepada keluarga ini termasuk membina sebuah rumah yang berharga RM35,000 manakala bakinya diberi dalam bentuk wang tunai untuk urusan harian keluarga ini," katanya.
Imbas kembali...Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman melawat kembar siam berkenaa April lalu. |
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan di rumah Zulkifli Ngah dan isterinya, Noraini Mohamad iaitu ibu bapa bayi kembar siam Nur Syazwanie dan Nur Syazrinie di Kampung Bukit Kuang di Kemaman, semalam.
Nazli yang menyertai Konvoi Kembara Zakat Zon Pantai Timur anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta tiga jabatan agama dari Pahang, Terengganu dan Kelantan itu menjelajah ketiga-tiga negeri itu untuk menyampaikan bantuan kepada penerima asnaf zakat.
Konvoi jelajah selama tiga hari itu diadakan buat julung kali dengan membawa pelbagai barangan keperluan harian dan disertai 40 anggota rombongan dari lima agensi kerajaan itu.
Sementara itu Noraini ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukurnya terhadap pelbagai bantuan berterusan daripada Maidam sejak berita penderitaan mereka sekeluarga disiarkan media.
"Bayi kembar siam kami juga semakin sihat dan aktif, tidak lagi mudah diserang penyakit berbanding dulu," katanya yang telah berpindah ke rumah baru itu sejak enam bulan lalu.
Beliau yang masih bekerja sendiri dengan menjual ikan di beberapa kampung sangat berterima kasih kepada Maidam kerana meringankan beban kewangan mereka sekeluarga memandangkan pendapatan bulanannya tidak menentu.
Kedua-dua bayi kembar siam itu adalah anak bongsu pasangan itu yang berkongsi jantung, sekali gus menyukarkan usaha untuk melakukan pembedahan kerana risiko kematian.
Kelahiran mereka di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada 22 Sept tahun lepas mencatat sejarah apabila menjadi kembar siam pertama di Terengganu yang bercantum dari pusat ke dada.
No comments:
Post a Comment