Friday, December 14, 2012
Najib - Pemain Negara Sudah Bermain Bersungguh-Bersungguh
Meskipun gagal untuk melayakkan tempat ke final Piala AFF Suzuki 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemain bola sepak negara telah berusaha bersungguh-sungguh dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2012 menentang Thailand, Khamis malam semalam.
"Tengok 'Harimau Malaya' di rumah. Walaupun tewas, pasukan kita telah bersungguh-sungguh untuk mengharungi apa jua rintangan," kata Perdana Menteri dalam tweet terbarunya.
Menteri Belia dan Sukan,Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak menganggap keputusan itu titik akhir buat skuad kebangsaan, sebaliknya menyifatkan perjuangan Malaysia masih belum berakhir.
Berpuas hati dengan corak yang dipamerkan pemain, Shabery berkata, pujian harus diberikan kepada anak buah Datuk K. Rajagobal kerana memperlihatkan semangat juang yang tinggi dalam pertemuan itu.
Misi Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan dalam saingan Piala AFF Suzuki berakhir apabila tewas menerusi agregat 1-3 kepada Thailand dalam saingan separuh akhir.
Kekalahan tersebut sekali gus mengecewakan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan Harimau Malaya berjaya melangkah ke final.
Impian Harimau Malaya untuk mengulangi 'magis' muncul juara dua tahun lalu hanya tinggal sejarah apabila Gajah Perang terlalu unggul di gelanggang sendiri, sekali gus menyaksikan Thailand mara ke final dengan kelebihan agregat 3-1.
Kedua-dua pasukan sebelum ini mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad lepas.
Kekalahan tersebut sekali gus meleburkan rekod skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi pada 2010 di Indonesia.
Thailand yang menggunakan khidmat pembantu jurulatih Mano Polking ekoran penggantungan ketua jurulatih Winfried Schafer nyata unggul dengan menguasai sebahagian besar permainan dengan serangan bertali arus ke kubu skuad kebangsaan.
Nasib malang menimpa skuad Harimau Malaya apabila pengadil perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-44 kerana bergaduh dengan pemain tengah Thailand, Datsakorn Thonglao.
Bersambung separuh masa kedua, Rajagobal membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain sayap kiri, S. Kunalan dan memasukkan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri pada minit ke-52 untuk menguatkan bahagian tengah.
Kelekaan barisan pertahanan negara kemudian membawa padah apabila penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda membuka tirai jaringan pada minit ke-60 setelah beliau memanfaatkan hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.
Lima minit kemudian, pemain pertahanan Theerathon Butmathan menjaringkan gol kedua untuk skuad 'Changsuk' (Gajah Perang) itu.
Skuad Harimau Malaya berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-81 menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha hasil sepakan percuma kapten pasukan, Safiq Rahim namun ditepis keluar oleh penjaga gol pasukan Thailand, Kawin Thamsatchanan.
Keputusan tersebut menyaksikan pasukan Thailand yang muncul juara pada 1996, 2000 dan 2002 layak ke perlawanan akhir buat kali kelima.
Skuad bimbingan Winfried Schafer itu akan membuat perhitungan dengan pasukan Singapura pada perlawanan akhir yang akan diadakan secara timbal balik pada 19 dan 22 Dis.
No comments:
Post a Comment