Monday, December 24, 2012

Kempen Jualan 'Kembali Ke Sekolah' KPDNKK Dapat Sambutan

Kempen jualan 'Kembali Ke Sekolah' anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapat sambutan hangat, lebih-lebih lagi menjelangnya sesi pembukaan persekolahan baru, tidak lama lagi.

Tinjauan Bernama ke Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini mendapati hampir kesemua 60 premis perniagaan diserbu ibu bapa yang ingin mendapatkan peralatan sekolah seperti beg, pakaian seragam dan alat tulis pada harga diskaun antara 10 hingga 20 peratus.

Seorang pengunjung, Mohd Shah Samad, 45, berkata beliau dapat menjimatkan hampir RM150 ketika membeli-belah di situ.

"Saya harap kempen seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun depan kerana ia membantu ibu bapa meringankan beban kewangan menjelang sesi persekolahan tahun baru," katanya yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

Bagi Hamidah Hamid, 37, pula beliau gemar berbelanja di TTC kerana dapat membeli pelbagai barangan keperluan dengan jenama terkenal di situ.

"Bila saya dapat tahu kempen ini akan berakhir pada 31 Dis, saya terus ambil cuti hari ini untuk datang membeli-belah kerana kawan saya beritahu TTC ni penuh sesak setiap kali cuti hujung minggu dengan kehadiran ibu bapa dan anak mereka," kata ibu kepada empat anak ini.

Selain 60 premis di TTC, sebanyak 40 buah pasar raya di seluruh Terengganu turut menyertai kempen itu yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi pelbagai barangan keperluan sekolah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat PDNKK Negeri Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata beliau berharap kempen itu akan dimanfaatkan ibu bapa untuk berbelanja dengan lebih bijak. "Kempen ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu meringankan beban kewangan ibu bapa untuk membuat persediaan kembali ke sekolah, terutama mereka yang mempunyai anak ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment