Monday, December 24, 2012

TTI Sasar Kehadiran 1.5 Juta Pelancong Sempena TMT13


Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTI) menyasarkan untuk menarik pengunjung sehingga 1.5 juta sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 tahun depan.

Pengarah Urusan TTI Engku Mohd Azmi Engku Abdul Rahman berkata untuk tujuan itu TTI akan mengatur pelbagai program dalam usaha menarik pelancong ke taman yang menyediakan 21 monumen bersejarah di dunia itu.

Katanya antara program yang dirancang ialah mengadakan program baru pada sebelah malam, seperti Payang Walk Ekspres iaitu perkhidmatan 'river cruise' terus ke Payang Walk bagi mengelak kesesakan melalui kenderaan darat, selain menyiapkan beberapa perkara yang masih dalam pembinaan

 "Kita yakin dengan pengalaman TMT 2008 dulu, TTI akan berjaya menambah kehadiran pelancong iaitu berdasarkan sasaran kerajaan negeri menerima empat juta pelancong pada tahun depan, dari jumlah itu 1.5 juta dijangka mengunjungi TTI," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kristal Datuk Zubir Embong di Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment