Sunday, December 23, 2012

Kes Denggi Dijangka Meningkat Hingga Tahun Depan

Kes demam denggi yang menunjukkan trend peningkatan sejak empat minggu lepas dijangka terus meningkat sehingga awal tahun depan jika tiada tindakan segera diambil.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Chong Chee Kheong juga tidak menolak kemungkinan kejadian wabak denggi yang tinggi pada 2010 akan berulang jika situasi sekarang berterusan.

Sehingga 15 Disember lepas, sebanyak 20,923 kes dilapor iaitu meningkat 10 peratus berbanding 19,105 kes bagi tempoh sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan, di sKuala Lumpur semalam.

Menurutnya 10 negeri mencatatkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan Kelantan paling tinggi pada 69 peratus, diikuti Perlis (63 peratus) dan Sabah (61 peratus). Kedah pula mencatatkan peningkatan 59 peratus, Sarawak (52 peratus), Perak (23 peratus), Selangor (17 peratus) dan Terengganu (12 peratus) manakala Johor dan Melaka masing-masing mencatatkan peningkatan tiga peratus, katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 35 kematian akibat demam denggi dicatatkan berbanding 36 pada 2011.

"Pengawasan nyamuk Aedes yang dijalankan mendapati tujuh negeri mempunyai Indeks Pembiakan Aedes yang tinggi iaitu Perlis pada kadar 5.3 peratus, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 2.3 peratus, Selangor 2.2 peratus, Kedah 2.1 peratus, Melaka 2.1 peratus, Sarawak dua peratus dan Johor 1.5 peratus," katanya.

Menurutnya pada minggu ke-50 iaitu dari 9 hingga 15 Dis lepas, sebanyak 536 kes dilaporkan.

 Jumlah lokaliti wabak juga meningkat dalam tempoh empat minggu iaitu daripada 39 lokaliti pada akhir Oktober lepas kepada 79 lokaliti sekarang.

 "Jumlah berkenaan melibatkan 24 daerah di 11 negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang," katanya.

No comments:

Post a Comment