Sunday, December 23, 2012

Komitmen RM300 Bilion Oleh Petronas Rancakkan Industri Minyak Dan Gas


Komitmen oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperuntukkan sejumlah RM300 bilion ke atas perbelanjaan modal sehingga 2015 dijangka mampu merancakkan industri minyak dan gas Malaysia tahun hadapan.

Penganalisis O&G dari MIDF Amanah Investment Bank berkata syarikat petroleum negara itu akan membelanjakan tambahan RM35 bilion untuk memberikan nafas baharu kepada lapangan yang telah matang dalam usaha menyerap dan memaksimumkan pengeluaran.

 "Terdapat banyak peluang untuk segmen kejuruteraan, pemerolehan dan pelaksanaan rantaian nilai O&G dengan aktiviti-aktiviti cari gali dan pengeluaran kian bertambah kukuh," kata beliau.

Beliau berkata pemberian kontrak akan bertambah kerana terdapatnya keperluan untuk "North Malay Basin", iaitu pembangunan gas integrasi baharu di Semenanjung Malaysia dan kerja-kerja pembalikmudaan kemudahan luar pesisir projek

"Pan Malaysia Umbrella Hook-up and Commissioning", untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bagi memenuhi tarikh akhir pengeluaran. "Sehubungan itu, kita boleh menjangkakan permintaan untuk kapal sokongan luar pesisir akan berkembang seiringan," kata beliau.

Pembangunan "North Malay Basin", dengan kerjasama antara Petronas Carigali dan Hess Exploration and Production Malaysia B.V., dijangka menghasilkan sehingga 300 mmscfd daripada sembilan lapangan gas dan kondensasi/pemeluwapan di ketiga-tiga blok luar pesisir menjelang 2015.

Projek "Pan Malaysia Umbrella Hook-up and Commissioning" pula dianggarkan menawar 10 pakej pekerjaan bernilai secara kolektif RM8 bilion hingga RM10 bilion.

Penganalisis itu berkata 2013 mungkin menyaksikan lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan dalam industri memandangkan banyak syarikat berhasrat untuk membentuk entiti yang lebih besar dan kukuh agar dapat bersaing dan seterusnya meningkatkan aliran pendapatan mereka. Beliau berkata minyak mentah "West Texas Intermediate" dijangka diniagakan pada purata US$96.50 (RM295) setong.

Penemuan berterusan hidrokarbon baharu seperti di Sarawak (Kuang North dan Tukau Timur) serta Tembakau-1 dan lapangan Bertam di luar pesisir Semenanjung Malaysia akan terus menyokong industri, kata beliau.

Beliau berkata yang penemuan telaga minyak baharu akan turut menambah kepada rizab minyak dan gas sedia ada Malaysia.

Contohnya, beliau berkata yang penemuan gas di Tukau dan Kuang akan menambah kira-kira lima peratus kepada rizab gas Malaysia dan penemuan minyak di Bertam sebanyak satu peratus kepada rizab minyak.

Mengenai pembangunan seberang laut, beliau berkata yang pengambilalihan baru-baru ini ke atas syarikat pengeluar gas Progress Energy Canada Ltd oleh Petronas bermakna terdapatnya sumber aliran baharu untuk menampung permintaan yang kian meningkat untuk tenaga berkuasa gas di dalam negara.

Bulan ini, Petronas mengambilalih Progress Energy Canada dengan nilai US$5.3 bilion (RM16.9 bilion) termasuk janji-janji untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 60 peratus selepas bida permulaannya ditolak oleh Kerajaan Kanada.

Beliau berkata yang ini akan menjadi penggerak tambahan kepada industri gas negara yang dijangka turut dirangsang oleh pelaksanaan Terminal Regasifikasi Melaka dalam suku kedua tahun hadapan.

Mengenai perkembangan besar untuk tahun 2012, beliau berkata, selain daripada pengambilalihan Petronas, industri itu turut menyaksikan penggabungan antara Kencana Petroleum dan Sapura Crest untuk membentuk antara penyedia minyak dan gas bersepadu terbesar di dunia, SapuraKencana, dengan permodalan pasaran melebihi RM10 bilion.

Untuk aktiviti hiliran, Dialog Group Bhd, kerajaan Johor dan Royal Vopak NV dari Belanda telah bersetuju melabur RM4.1 bilion dalam Terminal Gas Asli Cecair Pengerang di Johor.

Sementara itu, bergerak ke hadapan, beliau berkata, terdapat banyak lagi ruang untuk penambahbaikan tahun depan dengan pelbagai projek tempatan, serantau dan antarabangsa yang boleh diberikan kepada para peserta minyak dan gas Malaysia.

Penganalisis turut menjangkakan yang Petronas akan mengekalkan momentum dengan usahanya terus ke arah lebih banyak lapangan laut dalam, tekanan tinggi dan lapangan minyak bersuhu dan berkarbon dioksida yang tinggi.

 "Terdapatnya keperluan untuk Malaysia meningkatkan rizab minyaknya untuk dipadankan dengan penggunaan minyak yang kian bertambah, yang sekali gus dapat mengekalkan sektor yang cergas itu," kata beliau.

No comments:

Post a Comment